Cabaran Dan Peluang Dalam Mendidik Anak

Mendidik anak merupakan proses kehidupan yang mencabar untuk semua insan bergelar ibu bapa. Tambahan pula, tipulah kalau anda tidak pernah berasa stres dan mood ‘kelaut’ dalam menguruskan anak.

Memahami Proses Pembelajaran Anak

Anak yang meningkat umur sedang dalam proses tumbesaran yang aktif dan sering membuat kesilapan. Oleh itu, daripada memarahi eloklah kita mendidik mereka dengan teguran dan nasihat.

Masa Berkualiti Bersama Anak

Jika dikumpulkan bersama, momen inilah merupakan sebahagian daripada proses bonding. Malah, ibu bapa sering terlupa memanfaatkan masa ini sebagai waktu terbaik bersama anak.

9 Tips Bonding Dengan Anak

Dalam kita menghadapi kesibukan di siang hari pastinya kita sedikit terleka dalam meluangkan masa bersama anak. Cuba kita muhasabah diri berapa lamakah masa berkualiti kita bersama anak. Terasa sayang sekiranya dibiarkan walaupun masa yang ada cuma sedikit.

Jadi bagaimana ibu bapa boleh memanfaatkan masa yang pendek ini?

Fokus Kepada Anak

Memberikan tumpuan penuh kepada anak tampak mudah dilakukan. Namun begitu, teknologi sering mengganggu perhatian kita. Lebih-lebih lagi apabila semuanya berada di hujung jari, mudah sahaja mata kita terfokus ke tempat lain.

Ingat ya, mereka membesar dengan sangat cepat. Gunakan masa yang ada ke arah kecemerlangan mereka.

Refleksi Diri

Pesan kepada diri kita untuk menggunakan masa ini dengan baik dan bonding dengan anak. Waktu berharga ini adalah untuk anak-anak, hayati sebaik mungkin perjalanan bersama mereka. Seterusnya, refleksi membantu muhasabah dalam melalui segala ranjau kehidupan bersama anak.

Komunikasi Lisan

Komunikasi positif menjadi pintu kasih sayang dalam keluarga. Tambahan pula, latihan skil komunikasi positif, menggunakan suara rendah, ayat mendorong, ayat meminta kerjasama, dan apa-apa yang berkaitan sangatlah diperlukan dalam membina hubungan harmoni.

Bahasa Badan

Dalam kita memberikan kasih sayang, bukan sahaja menyediakan tempat tinggal dan memberi pakaian yang mencukupi. Malah, harus diikuti dengan sentuhan fizikal seperti pelukan, ciuman dan belaian. Selain itu, kontak mata ketika bercakap juga penting, nescaya bonding ibu bapa dan anak akan sentiasa mekar dan erat.

Membuat Jenaka

Ini antara point yang sangat penting dalam membina bonding yang kukuh bersama anak. Anak seawal umur 1 tahun juga sudah pandai bermain sembunyi-sembunyi, apatah lagi anak yang sudah memasuki umur tadika (3-6 tahun). Anak yang bahagia akan dipenuhi gelak tawa yang datang dari ibu bapa sendiri. Justeru, ciptalah jenaka kecil untuk menggamit memori indah bersama.

Nasihat Dan Pujian

Nasihat memupuk nilai murni, pujian membina keyakinan. Amalkan memberi nasihat tentang kehidupan, agama, nilai murni dan kesihatan. Pujian juga mampu menambah motivasi dan membina keyakinan anak-anak. Oleh itu, jangan kedekut memberi pujian!

Bersedia Secara Fizikal

Penyediaan fizikal menjadikan ibu bapa lebih teratur dan bersedia dengan setiap perancangan yang sudah dilakukan, juga jika ada apa jua dugaan mendatang. Seterusnya, ia menjurus kepada produktiviti dan kesejahteraan keluarga.

Dorong Jati Diri Rutin

Dorongan tugasan harian membina jati diri anak. Pada mulanya, memang agak kekok bagi mereka melaksanakan kerja-kerja rumah seperti menyidai dan melipat baju, membuang sampah, mencuci tandas, mengemas bilik.

Namun begitu, arahan ringkas ini menjadikan mereka lebih berdikari dan melakukan tugas dengan baik tanpa rasa dipaksa atau disuruh.

Wujudkan Peraturan

Peraturan di rumah adalah perlu bagi membentuk disiplin anak-anak. Contoh peraturan yang boleh dipraktikkan adalah makan bersama di meja makan, mengutip dan membuang sampah jika terlihat, menyusun kasut, membasuh pinggan sendiri, solat berjemaah dan macam-macam lagi.

Akhir Kata

Begitulah halnya dengan masa pendek yang hanya kita ada setiap hari. Kadang-kadang mesti terlintas di fikiran, hujung minggu adalah masa bersama keluarga sehingga kita lupa setiap detik yang berlalu setiap hari juga perlu diraikan.

Anak-anak membesar dengan begitu cepat. Tiba masa mereka membesar dan terus berdikari menempuh dunia yang penuh liku dan cabaran. Justeru, memori bagaimana yang akan dibawanya?

P/S: Ikuti kami di media sosial Instagram dan TikTok untuk lebih tips keibubapaan!

Nurul Hanan Arifin

CEO Natural Learning Initiatives