Artikel ini adalah dari Harian Metro

Alhamdulillah pihak kami telah mendapat liputan dari harian metro dan berikut adalah perkongsiaan setelah di interview oleh wartawan harian metro.

 

Rumah pencetus kecemerlangan

Ringgit jatuh, harga barang keperluan meningkat serta isu semasa dalam menangani kos sara hidup memberikan cabaran hebat kepada ibu bapa dalam mendidik anak.

Keadaan ini menyaksikan institusi kekeluargaan berhadapan tekanan disebabkan isteri yang terpaksa bekerja, suami pula perlu melakukan kerja sampingan untuk mencari lebih pendapatan disebabkan ketidakcukupan perbelanjaan harian.

Namun hakikatnya semua ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak. Dalam menuju destinasi ini pelbagai cabaran perlu dilalui misalnya menangani kehendak anak yang semakin terserlah keinginan terutama terhadap produk berteknologi yang berkembang pesat.

Setiap anak dibekalkan gajet. Ia seakan-akan menjadi satu keperluan dengan alasan memudahkan perhubungan. Namun tanpa sedar isu gajet dan media sosial yang tidak dipantau akan mempengaruhi minda dan emosi anak.

Anak pula sudah pandai meminta-meminta. Melihat rakan ada telefon genggam mereka juga inginkannya dan mula mengharapkan ibu bapa memenuhi kehendak mereka.

Dalam isu yang lain anak kurang faham mengapa ada ibu bapa yang tidak mampu menyediakannya terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.

Dengan pelbagai cabaran, pelbagai isu perlu ditangani ibu bapa supaya apa yang mereka impikan dalam menentukan hala tuju anak akan tercapai.

Menurut Pengasas Pusat Kecemerlangan Awal Naluri Noor Hayati Abdul Hamid, perkara pertama yang perlu dijelaskan kepada anak adalah situasi ekonomi ibu bapa sekarang.

Pada zaman gawat ini, ada bapa diberhentikan kerja, ada pula dikurangkan pendapatan bulanan, tiada lagi kerja lebih masa atau pemotongan elaun yang secara tidak langsung menjejaskan bajet keluarga.

“Mungkin sebelum ini ada ibu bapa mewah berbelanja. Mereka mampu membeli apa saja malah anak didedahkan dengan kesenangan. Tetapi disebabkan keadaan ekonomi mereka tidak lagi dapat berbelanja seperti biasa.

“Hal ini perlu dijelaskan kepada anak mengapa perlu berjimat cermat. Apa barang yang tidak perlu dibeli dan keperluan yang patut ada. Dengan penjelasan ini sekurang-kurangnya anak akan faham situasi ibu bapa dan tidak meminta melebihi kemampuan penjaga,” katanya.

Mungkin pada mulanya ia mengambil masa dan sukar diterima, namun sekiranya dijelaskan berkali-kali lama-kelamaan anak akan faham dan mula menerimanya. Berbeza sekiranya tiada penjelasan ia hanya akan membuatkan salah faham berlaku.

“Anak akan memikirkan ibu bapa tidak menyayangi mereka lagi apabila semua kehendak mereka tidak ditunaikan,” ujarnya.

rumah2.jpg.transformed_0

Perlu perubahan sikap

Pada masa sekarang, apa yang menentukan kejayaan seseorang adalah perubahan sikap. Ini sangat penting kerana anak yang dididik dengan sikap yang betul lebih berjaya berhadapan cabaran. Ini termasuk mempunyai akhlak mulia, membabitkan diri dengan masyarakat, suka membawa perubahan dalam sesuatu perkara.

“Untuk itu dalam zaman serba mencabar ini, ibu bapa seharusnya bersedia menyediakan anak bukan saja dengan pendidikan tinggi tetapi emosi, rohani dan akhlak yang baik. Apabila tanggungjawab ini dilakukan datanglah apa saja cabaran yang besar mereka pasti dapat melaluinya,” katanya.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ibu bapa adalah percaya anak yang dilahirkan suatu hari nanti akan menjadi insan berjaya dan hebat. Kepercayaan ini perlu ditanam dalam diri ibu bapa kerana ia akan menentukan kejayaan anak apabila besar nanti.

“Tatkala lahir saja anak tanamkan dalam diri yang si kecil ini akan jadi insan hebat suatu hari nanti. Apabila sudah ada niat pastikan akan bersungguh-sungguh berusaha memenuhinya,” kata Noor Hayati.

Berbeza dengan situasi pada masa lalu, kini ibu bapa perlu mendidik anak bukan dengan hanya menyediakan keperluan luaran sebaliknya menekankan kepada emosi dan rohani mereka. Anak perlu dibesarkan dalam keadaan tenang dan gembira. Caranya dengan sentiasa memeluk dan memberikan perhatian ketika di rumah.

“Saya faham ramai ibu bapa tertekan dengan kerja di pejabat, tetapi semua tekanan tidak patut dibawa ke rumah. Pulang dengan senyuman dan berikan pelukan ketika sampai di rumah. Ia sebenarnya tidak memerlukan belanja yang besar bagi mendidik emosi anak.

“Babitkan diri dalam semua aktiviti misalnya membasuh dan melipat baju, memasak dan mengemas rumah kerana ia komunikasi dua hala paling penting dalam membina emosi mereka. Banyakkan sentuhan menerusi pelukan dan ciuman,” katanya.

rumah1.jpg.transformed_4

Mengapa pentingnya kegembiraan dan ketenangan ini? Menurut Norhayati interaksi secara tidak langsung memberi kepercayaan kepada anak untuk lebih menghormati ibu bapa.

Jiwa tenang juga akan menjadikan mereka lebih kreatif dan berfikir di luar kotak pemikiran dan aras tinggi. Ia juga akan menjadikan anak menjadi lebih cergas.

Mereka juga kurang sifat pemarah sebaliknya dipenuhi dengan nilai positif seperti penyayang dan bertanggung­jawab.

“Selain memberikan gajet, banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama misalnya mengharapkan bantuan anak ketika memasak di dapur, meminta mereka mengemas bilik, melipat baju dan membasuh kereta.

“Hadirkan anak dalam semua aktiviti di rumah. Ini akan menyebabkan mereka berasakan yang kehadiran mereka sangat diperlukan sekali gus menyebabkan mereka sentiasa berfikir, bertolak ansur dan membina keyakinan diri,” katanya yang menasihati ibu bapa supaya menjadikan anak sebagai teman rapat dalam usia tujuh tahun pertama.

Tambahnya, rumah sebenarnya mencetuskan kecemerlangan anak dan bukannya di sekolah. Untuk membina keyakinan mereka mulakan dengan pelbagai aktiviti di rumah. Kemudian lihat bagaimana anak membina idea dan mengembangkannya. Jangan halang minat mereka sebaliknya beri galakan.

“Dalam hal ini peranan ibu bapa mengakui apa saja yang anak ingin lakukan. Jangan halang minat mereka, lama-kelamaan perasaan mereka lebih yakin,” katanya.

Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar ini, inilah masa terbaik membina jati diri mereka supaya menjadi anak yang hebat dan sentiasa berada di samping ibu bapa. Didikan di rumah tidak memerlukan modal sebaliknya hanya kesabaran dan keikhlasan saja.

 

Butiran Lanjut : http://origin.hmetro.com.my/node/112005?m=1

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 3 Februari 2016 @ 5:01 AM