Bagi anak-anak berusia 3-7 tahun, ia merupakan perkara yang besar untuk berada di sekolah selama 5-9 jam bersama guru dan kawan-kawan yang baru dikenali, atau setelah lama bercuti. Apatah lagi yang belum pernah bersekolah atau pun perubahan suasana di tempat baru. Perubahan rutin akan memberi impak terhadap kestabilan emosi mereka dan memerlukan masa untuk peyesuaian diri.
.
Pada peringkat awal, sekurang-kurangnya 2 minggu masa diperlukan agar anak-anak dapat merasa gembira hadir ke sekolah, menyesuaikan diri dengan rutin persekolahan secara bertahap, berkenalan dan bersahabat dengan rakan baru, serta membina kepercayaan dengan para guru dan membina kepercayaan terhadap sistem persekolahan dan rutin bersekolah.
.
Pihak tadika dan sekolah yang baik akan meyediakan pelbagai program yang menarik tanpa tekanan untuk mencapai objektif ini dengan menggunakan jadual anjal.
.
Bagi turut membantu pencapaian objektif di atas, saya gariskan panduan khas untuk ibu bapa membantu anak-anak melalui fasa transisi ini.
.
1. Berbual dengan anak mengenai hari persekolahan. Beritahu hari dan buat pengiraan hari menjelang persekolahan. Gambarkan suasana sekolah yang mempunyai rakan yang ramai untuk bermain dan banyak permainan serta aktiviti seronok setiap hari. Lalu di hadapan sekolah dan sediakan mindanya dengak bercakap dengan positif hal persekolahan.
.
2. Buat persiapan beg, pilih pakaian untuk dipakai dan sediakan beg persalinan mengikut citarasa anak-anak di samping panduan yang diberikan sekolah. Anak-anak yang diberi peluang membawa barang-barang kegemarannya akan rasa lebih selamat di tempat baru. Anak-anak akan rasa bersedia dan melupakan rasa gemuruh hendak memulakan persekolahan.
.
3. Anak-anak perlulah tidur awal. Elakkan menonton televisyen, skrin dan menggunakan gajet pada waktu malam atau sehingga lewat tidur. Hal ini akan mengganggu jadual dan kestabilan emosinya dengan amat serius. Sesuaikan jadual keluarga agar anak-anak dapat tidur dan bangun awal dalam keadaan gembira dan bertenaga. Ia harus dipastikan sepanjang tahun, bukan hanya di awal tahun. Ia menetukan kecemrlangan anak-anak di sekolah.
.
4. Bangun awal dan mulakan hari dengan ceria. Kejut anak dengan lembut dan hemah, berbual dengan anak ketika bangun, mandi, sarapan. Elakkan membawa emosi negatif, memarahi atau membebel di pagi hari. Sediakan sarapan yang digemari anak anda, walaupun ringkas. Gunakan masa ini untuk memberi gambaran sekolah yang seronok. Pastikan peralatan anak-anak telah siap. Keluar awal bersama keluarga. Membawa bekal dari rumah juga memberi kegembiaraan kepada anak, terutama di fasa baru ini.
.
5. Apabila meninggalkan anak di tadika pada waktu pagi, berbual dengan anak selama 5-10 minit. Perkenalkan dengan guru, yakinkan anak mereka akan gembira, jumpa kawan baru boleh bermain dan belajar, serta guru akan menjaga mereka dengan baik. Salam dan peluk anak sebelum meninggalkan mereka. Yakin mereka boleh menjalani sesi ini dengan baik. Lambai kepada mereka. Mereka perlu mendapat kekuatan dari ibu dan ayah yang paling dipercayainya. Anda boleh janji untuk buat aktiviti yang menarik apabila pulang sekolah nanti, samada bermain di taman perminan dengan ibu ayah, membaca buku cerita bersama, atau makan ais krim dengan meraka.
.
6. Maklumkan pada anak jam berapa dan siapa antara ibu ayah akan ambil. Sebaiknya ibu ayah sendiri yang mengambil anak-anak. Anak-anak merasa dirinya penting. Patuhi masa yang telah dijanjikan dengan anak. Ini akan membina kepercayaan anak kepada ibu bapa dan sistem persekolahan. Sekiranya ibu atau bapa sering lewat mengambil anak, anak akan merasakan sekolah ini dengan gambaran negatif.
.
7. Pada peringkat awal, cuba usahakan untuk mengambil anak pada waktu yang lebih awal, ini kerana anak baru sahaja melalui pengalaman baru, sebarang perubahan akan terasa lama dan proses transisi bertahap akan membantu anak-anak untuk positif dan mempercayai rutin baru ini.

8. Apabila mengambil anak ketika pulang, puji mereka kerana berani ke sekolah, kerana jumpa kawan dan guru-guru baru. Tunaikan janji-janji yang disebut tadi. Anda tidak perlu berjanji ais krim setiap hari, tetapi beraktiviti bersama anak itu lebih mengujakan mereka. Ini kerana mereka rindu untuk bersama ibu ayah selepas seharian di sekolah.
.
9. Ketika berlangsungnya sesi, elakkanlah meminta gambar anak-anak. Guru-guru perlu memastikan program yang disusun berjalan lancar, mengutamakan keselamatan dan kebajikan semua anak-anak. Sekiranya terdapat kecemasan lebih baik terus hadir ke tadika. Di waktu yang sesuai, gambar-gambar akan dikongsi sekiranya berjaya dirakam.
.
10. Bagi anak-anak yang masih perlu perhatian khusus, para guru akan mengusahakan pelbagai kaedah yang akan membantu mereka menyesuaikan diri dengan baik yang selari dengan psikologi mereka. Hal ini akan memerlukan masa. Pihak tadika akan memaklumkan dan berbincang dengan ibu bapa tentang keperluan ini dengan ibu bapa sekiranya ada. Bagi anak-anak yang masih dalam fasa ini, ibu bapa disarankan untuk memberi fokus yang lebih kepada mereka mengambil lebih awal. Ini akan membantu proses adaptasi ke suasana tadika dan membina kepercayaan kepada sistem dan rutin persekolahan.
.
Semoga catatan khas di atas dapat membantu semua ibu dan bapa terutama ibu bapa baharu dan yang mempuyai anak kecil atau memerlukan lebih perhatian ketika fasa transisi ini.