HARAPAN Ibu Bapa Adalah Segala-Galanya Buat Anak

 

HARAPAN ibu bapa adalah segala-galanya buat anak

Kita baru sahaja memasuki tahun baru.
Azam baru dan permulaan kehidupan baru lebih indah hendaknya kepada semua kita di sini.

Tugasan kita sebagai ibu bapa yang paling utama ialah memberi yang TERBAIK kepada anak. Bukan memberi benda yang termahal, tetapi yang terbaik anak kita perlukan. Beg sekolah, buku, pakaian dan kasut tidak dinafikan menjadi barang keperluan untuk ke sekolah, disamping nafkah hidup anak.

Selalunya, ‘terbaik’ itu kita definisikan dalam kategori materi.
Kita banyak terlepas pandang soal harga diri, jati diri, keyakinan, maruah dan imej anak.

Kita akan lebih berfokus kepada materi kerana itulah yang dilakukan oleh orang ramai. Itulah yang diutamakan dalam masyarakat kita.

Cuma silap kita sebagai ibu bapa, kita alpa dan pandang dengan sebelah mata sahaja terhadap keperluan ruhiah insan-insan ini. Masyarakat kita kurang menumpukan kepada membina kemahiran diri dan kekentalan jiwa serta emosi ini. Kemahiran komunikasi, kepimpinan diri dan kemahiran berfikir dilihat terpinggir .

Kita masih dengan keghairahan anak yang cepat pandai, pandai membaca seawal usia 3 tahun, 2 tahun…
Anak-anak diBANDINGkan. Ibu bapa stress apabila terdapat anak-anak yang belum dapat membaca pada usia 4 tahun, umpamanya.

Ketahuilah ibu bapa bahawa anak ini mempunyai pola perkembangan dan pembangunannya yang tersendiri. AMANAH yang perlu kita gilap, awasi dan bimbing dengan ikhlas dan adil. Bukannya mereka kurang dan tidak pandai. Mereka dihukum di awal usia berdasarkan prestasi mereka melalui kaca mata dan nilai orang dewasa yang terbatas.

Jadilah ibu bapa yang bijak!

Ketahuilah sebenarnya terlalu awal untuk itu semua. Ibu bapa yang bijak akan buat ‘First thing first’ dan menggunakan pendekatan yang seimbang apabila bergaul dan membimbing anak.

Dunia keHIDUPAN yang mereka perlu pelajari ini lebih sulit dari cepat membaca. Akal yang luas. Jiwa yang kental diperlukan.
Harapan ibu bapa yang merangsang jati diri dan keyakinan anak akan membuatkan anak lebih senang tumpu kepada pelajarannya.
BAHASA kecaman dan ancaman meruntuhkan kesungguhan anak dan menjadikan dia takut untuk mencuba.

Biasakan anak untuk bertanggungjawab dengan tindakan mereka.

Kalau tidak membuat homework, kena marah dengan cikgu.
Kalau bangun lambat, lewat sampai ke sekolah dan tidak sempat bermain.

Bina harapan dan masa depan anak dengan penglibatan kita yang bijaksana.

Tahniah kepada ibu bapa yang sentiasa bertungkus lumus memberi yang terbaik kepada anak anda.

 

Oleh: Pn Noor Hayati Binti Abdul Hamid

Founder NALURI Early Excellence System

Principal Consultant NLI Education Sdn Bhd