Bagaimana menjadikan rumah kita sehebat SBP dan MRSM, walaupun anak saya di sekolah harian?

Isu kuota SBP dan MRSM menjadi topik hangat. Seperti biasa, saya hanya berminat memandang ke hadapan. Apa yang kita boleh lakukan sebagai ibu dan bapa bagi memastikan kualiti anak yang dilahirkan nanti sehebat kualiti SBP dan MRSM, walaupun mungkin nanti anak-anak kita tidak dapat mengulangi jejak langkah kita ke SBP dan MRSM.

Tulisan ini hanyalah pencetus, banyak lagi yang belum lengkap. Sudi-sudikan sahabat budiman menambah input. Banyak adalah dari pengalaman yang dilalui sendiri, melihat di hadapan mata sendiri bagaimana rumah mampu menjadi pengeluar produk seperti SBP dan MRSM, dan pergi ke sekolah harian.

1. Buatkan jadual waktu yang baik di rumah yang mengimbangi rehat, ibadah, ulangkaji, bersukan dan riadah, sosial. Kesemua ini akan membentuk peribadi anak yang seimbang dan cemerlang. Orang yang berjaya adalah orang yang mengetahui had-hadnya dan bergerak dalam lingkaran itu. Hatta anak 3 tahun yang bijak tanpa diberitahu bahaya yang dihadapi akan mengakibatkan kecederaan pada dirinya. Begitulah peranan ibu bapa, membentuk ruang lingkup untuk anak-anak melaluinya.

2. Wujudkan dan latih anak dengan nilai-nilai keluarga yang utuh. Nilai ini meliputi agama, kemanusiaan, nilai keluarga, nilai-nilai berkawan, nilai bermasyarakat dan sosial, nilai kecemerlangan akademik, nilai kepimpinan. Nilai-nilai ini perlu dihadam dalam perbincangan dan pertukaran interaksi melalui perbualan dan aktiviti. Suburkan dalam keluarga perbincangan-perbincangan ini dan aktivitnya. Ini membentuk gaya fikir anak dan anak akan matang membawa diri di kalangan sahabat dan guru mereka.

3. Latih anak dengan kerja rumah harian dari kecil. Kemas katil, kemas bilik, sapu sampah, kemas dapur, angkat pinggan, isi air, basuh kasut, basuh tandas, basuh kereta, basuh beg, gosok baju, basuh baju. Semua ini boleh dilatih bertahap pada usia sekolah rendah. Jangan berikan alasan ada bibik. Tidak perlu tunggu sekolah menengah. Dan pastinya tidak perlu tunggu SBP dan MRSM. Tidak perlu tunggu inspection oleh MPP di pagi Ahad. Ibu dan ayah perlu buat inspection, ajar anak stretch katil, ajar anak kemas baju, sidai tuala,tutup lampu, basuh tandas.

4. Wujudkan waktu belajar ulangkaji bersama. Membaca, habiskan homework, buka pelajaran yang diajar walaupun tiada homework. Bincang-bincangkan kandungan buku. Sekiranya ibu ayah yang buat begini, percayalah. Minat anak terhadap sesuatu subjek akan lebih mendalam, kerana dapat bonus bonding dengan ibu ayah.

Ayah saya seorang pendidik di rumah. Ada hari-hari yang kami buka buku dengannya. Ayah hebat bahasa, sejak sekolah rendah, saya belajar cara menulis esei dengan baik dari ayah. Sering karangan kami menjadi contoh dalam kelas.

Apabila musim peperiksaan, beri galakan anak mengulangkaji. Pada peringkat ini anak mungkin sudah ada gaya ulangkaji tersendiri. Beri ruang, pastikan ia boleh belajar. Buatkan air milo dan biskut peneman ulangkaji. Ada sela masa sembang dan menjadi rakannya. Ibu saya memang akan ronda bilik anak-anak pada musim peperiksaan dan membawakan secawan milo panas, meneman kebuntuan ulangkaji.

Dari awal tahun, bincangkan sekiranya ada topik yang tidak difahami. Ajar anak untuk bertanya guru atau rakan yang lebih mahir. Kita tidak perlu tahu semua tapi perlu tahu apa yang tidak tahu agar dapat diusahakan penyelesaiannya. Kalau perlu sahaja, bolehlah pergi ke kelas tuisyen subjek yang agak buntu, bukan semua subjek! Saya percaya anak tuan puan yg hebat ini bijak-bijak seperti ibu ayahnya juga.

5. Seperkara yang amat penting ialah minta anak anda buat jadual belajar. Sejak saya PMR, ibu saya minta saya rangkakan jadual belajar yang saya selesa. Berwarna warni jadual saya. 8 subjek, ketika itu di SMK Seksyen 5, Wangsa Maju. Saya tidak pernah ke tuisyen, hanya pesonal coaching utk topik yang saya rasakan mencabar. Jadual belajar saya tadi, tidak rigid. Kadangkala diubahsuai. Mama pernah tanya, dari jadual tu, berapa % yang berjaya dibuat? Saya jawab 70%. Saya ingat hingga sekarang.

6. Pastinya perlu wujud ruang belajar di rumah. Meja, kerusi, lampu, juga buku-buku rujukan. Ibu ayah perlu bantu cari bersama. Ia harus kodusif, selesa. Ada jadual belajarnya yang tidak boleh diganggu. Ketika musim peperiksaan, masa saya menolong ibu ayah di dapur juga dikurangi. Ibu ayah perlu bantu anak disiplin. Bukan memaksa tetapi perlu diberi dalam bentuk kesedaran. Bak kata mama saya, biar dier rasa juga dapat markah rendah supaya ia tahu kepentingan untuk belajar.

7. Galakkan anak dan sokong anak untuk terlibat aktif dengan aktiviti sukan dan ko kurikulum. Galakkan mereka untuk serius hingga ke tahap yang tinggi untuk dua aktiviti. Ini memberikannya keyakinan yang tinggi. Percayalah. Inilah kelebihan di SBP dan MRSM. Aktiviti seperti debat, sukan pelbagai jenis, kepimpinan pelajar atau pengawas, MPP. Kelab-kelab catur, bahasa, kesenian, pertanian. Sukan dan ko-kurikulum melatih kepasukanan, kepimpinan, hakikat kehidupan yang lebih hakiki dari akademik semata-mata. Semua kemahiran ini amat terserlah apabila di alam pekerjaan. Begitu juga aktiviti kemanusiaan. Latih dan hubungkan anak-anak dengan aktiviti berbentuk kemanusiaan, boleh dipergiat dengan lebih meluas di sekolah-sekolah.

8. Biar anak anda mempuyai hobi unik. Ini membentuk personaliti dan karakter. Ia menjadikan mereka istimewa. Ia menjadi sumber keyakinan, mencipta imaginasi dan kreativiti. Ia juga sebagai ruang untuk hilangkan tekanan. Saya mempunyai hobi mengecat botol kaca dengan adik beradik, sebelum itu menjahit uncang dari kain perca. Ada juga hobi membuat cookies dengan rakan-rakan dan menjualnya kepada para guru. Yang lelaki pasti lebih mencabar hobinya. Saya juga gemar memanjat bukit dan berbasikal!

9. Sediakan makanan yang seimbang dan sihat. Setiap hari pastikan kita menyediakan makanan yang baik untuk keluarga. Kita perlu sediakan budget yang baik untuk ini. Dari pagi hingga malam, biarlah makanan kita seimbang dan sihat! Seperti makanan di Dewan Selera Asrama! Jangan sediakan budget hanya untuk percutian keluarga, rumah, perabot atau kereta kita sahaja, ya.

10. Amalkan solat berjemaah harian, wirid pagi petang harian, membaca Al Quran bersama ibu ayah, liqo keluarga mingguan, aktiviti masjid keluarga, aktiviti program agama sekeluarga. Ini semua yang keta buat di SBP dan MRSM kan. Ia mengisi rohani kita di asrama dahulu. Percayalah kita, pasangan dan anak-anak kita turut perlukannya di rumah. Bahagiakanlah rumah kita dengan membimbing keluarga kita dengah ibadah bersama keluarga. Pasti hubungan keluarga kita lebih tenang dan indah.

11. Kenal, pantau, lihat dan terlibat dengan siapa anak-anak kita berkawan. Usia remaja usia belajar menginjak dewasa. Jadikan anak remaja sebagai kawan. Ajak mereka ke rumah. Beri sokongan aktiviti mereka. Beri mereka kepercayaan. Jelaskan syarat-syarat dan ingatkan nilai-nilai kita. Jangan lupa doakan mereka. Bincang semula permasalahan atau pelanggaran nilai jika berlaku. Selami cara untuk mendekati mereka. Kadangkala perlu tundukkan ego.

Kelebihan semua di atas, apabila ia dilakukan di rumah, ia melebihi kehebatan SBP dan MRSM itu sendiri. Kerana ia dikelola oleh ibu dan ayah yang penyayang. Sungguh bertuah anak-anak yang dapat melalui pengalaman persekolahan berdekatan keluarga, cemerlang dalam pendidikan dan kehidupan, di hadapan mata ayah bonda tercinta!

Nah, boleh tak? Ibu ayah semua lepasan SBP dan MRSM yang gah semuanya, kan? Guru-guru kita dah didik kita , buktikan didikan mereka tak sia-sia. Kita adalah produk yang dilahirkan. Ulangi kecemerlangan itu, kali ini bermula dari rumah kita lagi. Anak-anak anda pasti lebih hebat. Ibu saya sering berkata, lahirkanlah generasi yang lebih hebat dari generasi kita.

Ini fasa ibu bapa menajamkan kemahiran keibubapaan, kekeluargaan. Lebih pantas kita bertindak meninggalkan idealism lama, lebih maju kita menerima hakikat masa hadapan. Banyak ruang model SBP dan asrama yang boleh dicerna dan dicerakinkan di peringkat sekolah harian dan di rumah bersama keluarga. Ini fasa ibu bapa menjiwai tugas kita bukan sekadar melahirkan dan membesarkan anak, malah menajadi pendidik dan pembimbing pelajaran dan kehidupan.

Semoga penulisan ini dapat memberi sisi pandang yang segar, menyediakan kita ntuk masa depan dari sekarang. Biasalah, perkara baharu memang akan terasa mencabar dan susah. Ia bukan senarai terhad. Tetapi ia harus bermula di suatu titik.

Melihat satu cabaran sebagai permasalahan tidak akan mampu menyelesaikan isu. Akhirnya akan tinggal alasan. Saya sedar ramai yang masih berkira-kira untuk menerimanya. Mungkin boleh menjadikan panduan di atas sebagai pertimbangan. Semoga perkogsian ini bermanfaat kepada ramai.

Credit: Nurul Hanan Arifin
Managing Director NLI Education Sdn Bhd