Sudahkah berbual-bual bersama anak kita hari ini?

Kenapa perlu berbual-bual dan meneroka fikiran dan perasaan mereka ya? Berbual dengan anak ini sebenarnya therapeutic, menenangkan untuk anak dan juga untuk ayah dan ibu sekiranya tahu bagaimana untuk melakukanmya. Nak anak cerdik?

1. Dengar percakapannya.
Layan percakapannya, cuba faham apa yang ingin disampaikan oleh insan-insan comel ini. Cakap pun tidak jelas lagi, terutama kalau anak sekitar anak 1-2 tahun.

2. Berbual dan tanya apa mereka suka.
Selain anak dapat tahu nama benda, anak juga akan mengenali perasaan mereka apabila kita berbual dan tanya apa mereka suka seperti makanan, warna, kawan, buah dan lain-lain.

3. Terangkan benda baru.
Anak juga akan belajar apa yang boleh buat atau tidak boleh buat seperti sesuatu yang bahaya. Apabila kita terangkan kepada mereka, mereka belajar had dan batasan.

4. Kongsi dan praktis bersama.
Anak juga akan belajar nilai dan budaya apabila dikongsi dengan anak cara makan, adab makan, bersalaman, cara hormat orang tua, dan lain-lain apabila di praktis bersama dalam suasana kehidupan seharian.

5. Panjangkan perkaitan.
Anak juga belajar fokus dan berfikir dengan teliti melalui perbualan kita yang sedemikian. Apabila berbual berkenaan buah kegemaran pisang umpamanya, tahukah anak anda nama pisang itu? Jenis-jenisnya, pokok pisang, kerepek pisang, jemput-jemput pisang, kek pisang. Boleh lukis, tulis, kira, menyanyi tentang pisang. Boleh buat senarai panjang lagi tentang pisang ini.

6. Ajak buat bersama.
Apabila kita ambik wudhu, solat, baca Quran, ajak anak lakukannya bersama biarpun kalau basah bajunya yang baru salin. Kerajinan anak dalam membuat amalan yang suci ini memang perlu diberikan peluang untuk anak itu lakukan walau dengan gayanya sendiri kerana langkah pertama anak belajar ialah dengan meniru gaya org tuanya. Lagi banyak perkara baik-baik kita buat ditiru anak, adalah lagi bagus. Jadi cari-carilah peluang itu.

7. Bercakap walaupun sedang melakukan hal lain.
Bercakap juga dengan anak apabila anda sedang melakukan sesuatu seperti memasak, menulis, mengemas, menyidai baju, hidang makanan, memotong sayur, agar anak terbiasa melihat dan melibatkan diri dan secara spontan belajar benda baru.

Selamat berbual untuk bina Minda, Karakter, dan Kepintaran anak anda dalam lingkungan energi kasih sayang di rumah kita sendiri.

Credit: Noor Hayati Abdul Hamid, Pengasas NALURI Kreatif Excellence Centre (Tadika), Principal Consultant NLI Education Sdn Bhd.